Hujan lebat kembali di Pakistan: 24 maut

ISLAMABAD: Hujan monsun lebat kembali melanda Pakistan pada Rabu (5 Jul) menyebabkan 24 kematian, dengan jalan-jalan raya dan stesen kereta api dilimpahi banjir menggugat kehidupan penduduk di penempatan yang sedang bergelut untuk pulih daripada banjir musim panas lalu, menyaksikan 33 juta orang terjejas dan meragut 1,739 nyawa.

Pegawai tertinggi kerajaan di wilayah Punjab, Mohsin Naqvi berkata, sekurang-kurangnya 24 orang maut dalam insiden berkaitan cuaca sejak hujan monsun lebat itu melanda kawasan tersebut bermula minggu lalu, termasuk tiga terbunuh beberapa hari lepas, lapor AP.

Musim tengkujuh bermula secara rasmi pada minggu ini dan akan berterusan sehingga September di negara Asia Selatan itu, dengan cuaca hujan yang pertama dijangka berlarutan sehingga Sabtu (8 Julai) ini.

“Ibu kota kebudayaan Pakistan, Lahore, menerima rekod hujan 272milimeter dalam tempoh sembilan jam pada Rabu, yang membanjiri jalan-jalan raya dan terusan bandar itu,” ujar Mohsin.

“Kali terakhir Lahore dilimpahi banjir seperti yang terbaharu ini adalah 30 tahun lalu,” tambahnya.

Ibu kota Pakistan, Islamabad, juga dilanda hujan lebat berterusan sepanjang minggu ini; dan pihak berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) negara itu memberi amaran kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya bersiap sedia menghadapi malapetaka susulan seperti banjir dan tanah runtuh.

Banjir dahsyat pada musim panas lalu telah menyebabkan kerosakan dengan kerugian ditafsirkan mencecah sebanyak AS$30 bilion (RM140 bilion) di Pakistan. – HARAKAHDAILY 6/7/2023

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *