11 rumah dilanda banjir kilat akibat kepala air

Jerantut: Fenomena kepala air di kawasan hulu Sungai Relai, Sungai Cheka dan Sungai Sepan, dekat sini menyebabkan 11 rumah di Kampung Sempadan, Mukim Ulu Cheka, dekat sini, dilanda banjir, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, paras air meningkat secara mendadak menyebabkan 39 mangsa daripada 11 keluarga tidak sempat menyelamatkan barangan dan dokumen penting.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sempadan, Samsuri Salamin, berkata, kejadian banjir dipercayai berlaku susulan kepala air di kawasan hulu sungai akibat hujan lebat yang berlaku sejak malam.

“Penduduk memang tidak menjangka berlaku banjir kali ini kerana kejadian ini di luar musim tengkujuh.

“Sebanyak 11 keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Sempadan sebelum dibenarkan pulang sehingga air surut,” katanya.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah, Kapten (PA) Muszaidi Musa, berkata hujan lebat yang bermula pada jam 9 malam tadi menyebabkan berlaku kenaikan dan limpahan paras air Sungai Sepan di Kampung Sempadan dan air Sungai Kor di Kampung Batu Balai.

“Terdapat lima rumah di Kampung Sempadan dan tiga rumah di Kampung Batu Balai dimasuki air, dan mangsa di Kampung Sempadan menumpang sementara di Balai Raya Kampung Sempadan dan paras semasa air menunjukkan trend menurun, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Rosmaniza Mohd Isa, 43, berkata air mula naik mendadak di bahagian dapur ketika semua ahli keluarga sedang tidur, kira-kira jam 1 pagi.

“Kejadian banjir kali ini sangat cepat. Biasanya hampir setiap tahun banjir berlaku, kadang-kadang berlaku dua kali setahun setiap musim tengkujuh.

“Saya sekeluarga letih kerana setiap kali berlaku banjir banyak peralatan di rumah banyak yang rosak. Saya berharap ada jalan penyelesaian,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *