Enam rumah rosak akibat ribut
JERANTUT: Enam rumah rosak dalam kejadian ribut yang berlaku selama 30 minit di Felda Gelanggi 2 dan Felda Gelanggi 4, di sini, jam 5 petang, semalam.
Angin kencang berserta hujan lebat itu turut menggemparkan penduduk yang masih dalam suasana menyambut hari raya kelima.
Seorang penduduk Felda Kota Gelanggi Dua, Mohd Fazli Sulaiman, berkata ketika kejadian dia berseorangan dan berada di dapur, tiba-tiba ribut melanda disusuli dengan hujan lebat.
“Ribut itu seperti puting beliung yang ‘berpusar’ serta seakan boleh mencabut pokok yang bergoyang kuat di belakang rumah saya.
“Deruan angin kuat turut menerbangkan enam atap zink rumah kira-kira 20 meter dari rumah saya.
“Ketika kejadian saya berseorang di rumah kerana isteri saya masih menerima rawatan di wad Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dan saya bersyukur kerana selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.
Penduduk Felda Gelanggi 2, Abdul Rahman Ishak, 63, berkata, apabila meninjau keluar rumah dia melihat keadaan ribut yang kuat dan berlaku hampir 30 minit serta amat menakutkan.
“Kejadian ribut dan hujan lebat merencat kemeriahan sambutan hari raya yang selalunya menziarah jiran tetangga pada waktu petang.
“Selain itu, zink atap rumah penduduk yang terjejas bertaburan di atas jalan dan halaman rumah mangsa serta jiran,” katanya.
BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN .. BERAMAL KERANA ALLAH