17 keluarga hilang tempat tinggal, rumah musnah terbakar

Kota Kinabalu: Sebanyak 15 rumah setinggan di Jalan Saga, Likas, di sini musnah dalam kebakaran malam tadi menyebabkan 17 keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Dalam kejadian jam 7.20 malam itu bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan selepas semua penghuni rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 7.29 malam.

Katanya, seramai 48 pegawai dan anggota BBP Lintas, Kota Kinabalu dan Penampang bersama empat jentera dan dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran, empat pancutan dari sumber air jentera dan pili bomba

“Api berjaya dikawal daripada terus merebak ke rumah berhampiran dan operasi terkawal pada 8.38 malam,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurutnya, laporan kebakaran membabitkan 15 rumah setinggan bersaiz kecil jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.

“Seramai 17 keluarga yang terbabit dan tiada mangsa dilaporkan.

“Pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.

Tambahnya lagi, operasi ditamatkan pada 10.47 malam dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Operasi pemadaman turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN .. BERAMAL KERANA ALLAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *