Hujan bantu pulih kualiti udara

Hujan di kebanyakan kawasan semalam membantu memulihkan kualiti udara negara apabila tiada negeri mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, pagi ini.
Berdasarkan maklumat di laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat 9 pagi, semua kawasan seluruh negara merekodkan bacaan IPU tahap sederhana.
Seremban, Negeri Sembilan mencatatkan bacaan tertinggi iaitu IPU 88, diikuti Segamat, Johor (87) dan Samalaju, Sarawak (86).
Minden, Pulau Pinang dan Kota Bharu, Kelantan masing-masing mencatatkan bacaan IPU 85 diikuti Johan Setia, Selangor (84) manakala Kuala Selangor (83).
Turut mencatatkan IPU sederhana ialah Shah Alam, Petaling Jaya dan Seberang Perai masing-masing 82 diikuti Klang (81).
Sementara itu, kawasan lain di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU antara 79 hingga 53.
Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.
BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN .. BERAMAL KERANA ALLAH