Bumbung SK Ujong Batu diterbangkan ribut, sekolah tutup
Kangar: Keseluruhan bumbung di blok utama Sekolah Kebangsaan Ujong Batu, Jalan Mengkuang Layar, di sini tercabut selepas diterbangkan angin dalam kejadian ribut hari ini.
Kejadian jam 2.50 petang itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kemalangan jiwa kerana kejadian berlaku ketika sekolah lain sedang bercuti hujung minggu.
Ribut yang melanda turut mengakibatkan 19 buah rumah di lima kawasan sekitar Kangar dan Arau turut rosak dan terjejas akibat dibadai ribut berkenaan.
Tinjauan di sekolah berkenaan mendapati kerja mengalihkan serpihan bumbung sedang dijalankan pekerja am sekolah berkenaan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Naharudeen Othman ketika dihubungi berkata, ribut bersama hujan lebat yang melanda kawasan sekolah menyebabkan keseluruhan bumbung di bangunan dua tingkat terbang dan bertaburan di kawasan sekolah dan kejiranan berhampiran.
“Oleh itu, langkah kecemasan yang diambil selepas berbincang dengan pihak sekolah adalah memberi cuti pada 17 dan 18 April atas aspek keselamatan dan bilik darjah terkesan.
“Cuti awal itu kemudian diikuti dengan cuti sekolah sempena perayaan Aidilfitri dan kerja pembaikan dan pembersihan akan dilaksanakan pada tempoh itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, sekiranya keadaan bumbung di bangunan sekolah itu belum dapat dibaiki sepenuhnya apabila sesi persekolahan dibuka kelak maka pihaknya sudah mengarahkan pihak sekolah untuk menggunakan kelas khas untuk sementara waktu bagi meneruskan sesi pembelajaran.
Sementara itu, Urusetia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perlis dalam kenyataan berkata, sebanyak 23 kes kerosakan dilaporkan sehingga jam 6 petang tadi membabitkan kediaman, bangunan sekolah, premis perniagaan dan gerai penjaja terutama yang sedang menjalankan perniagaan di bazar Ramadan di kawasan terbabit.
“Pada masa ini pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis (JKM) dan Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) sedang giat mengumpulkan maklumat mangsa yang terbabit bagi tujuan penyaluran bantuan.
“JKM dan MAIPs juga menerima laporan daripada pemimpin masyarakat, amil dan imam di setiap kariah dan juga daripada mangsa yang terbabit berkenaan kerosakan yang dialami susulan kejadian ribut petang tadi,” katanya.
BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN .. BERAMAL KERANA ALLAH