FASA REHABILITASI ; KHIDMAT MALAYSIA DAN NGO SANTUNI MANGSA BANJIR DI KLUANG

Kluang- Petang semalam, Khidmat Malaysia bersama NGO Permai Care, Kluang Care, Jabatan Amal Malaysia bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tengah dan Kampung Special Constable (SC) telah menganjurkan program Iftar Ramadhan bagi meraikan mangsa bencana banjir yang berlaku di Kluang baru-baru ini.

Seramai 300 keluarga yang terkesan dengan bencana banjir dari Kampung Tengah, Kampung Semberong dan Kampung SC diraikan dan kehadiran mereka adalah sangat memuaskan.

Selain juadah berkuka puasa dan ‘goodies’ penganjur juga menyediakan ratusan baju kurung terpakai hasil sumbangan masyarakat untuk diserahkan kepada para tetamu.

Pengarah program, Mohd Nor bin Mohamad ketika dihubungi berkata, program ini adalah aktiviti susulan Khidmat Malaysia pada fasa Rehabilitasi Khidmat Malaysia terhadap mangsa banjir.

“Kebiasaanya selepas berlaku banjir, kami akan berkunjung ke rumah mangsa untuk memberikan sumbangan barangan. Kali ini kami teruskan lagi dengan program menyantuni mangsa bencana banjir dengan majlis berbuka puasa” tambah beliau yang merupakan mantan Penyelaras Khidmat Malaysia kawasan Kluang.

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil di dalam ucapannya telah merakamkan ucapan tahniah kepada jawatankuasa program kerana telah berjaya menghimpunkan mangsa bencana banjir dalam satu majlis berbuka puasa yang meriah.

Khairul Faizi dalam ucapannya turut menyebut bahawa bencana banjir yang berlaku kini sudah tidak lagi pada tempoh tertentu tetapi ianya sudah berlaku di luar jangkaan seperti yang berlaku di Johor.

Beliau juga menyebut bahawa bentuk bencana juga kini sudah pelbagai termasuk bencana strok haba dan bencana gempa bumi.

“Cuaca yang tidak menentu, perubahan musim semakin sukar untuk diramal, terik matahari menyengat serta jumlah taburan hujan yang berubah memberi kesan kepada kita”

“Dulu kita mungkin tidak pernah dengar bencana strok haba. Kini strok haba sedang kita alami sehingga ianya boleh menyebabkan berlakunya kebakaran” ujar beliau.

Turut hadir dalam program ini, Encik Suhaizi bin Mohd Yasin, Penghulu Mukim Kluang, Encik Shazuwan Husnan, Pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kluang dan Ketua Kampung Tengah Maadon Rashidan.

Khidmat Malaysia baru-baru ini dalam arahan kepada semua Jawatankuasa Penyelaras menyarankan supaya program menyantuni mangsa bencana banjir khususnya pada fasa rehabilitasi (pemulihan) dilaksanakan. Program majlis berbuka puasa di Kluang ini diharapkan dapat dijadikan contoh.

BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BERAMAL KERANA ALLAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *