30 rumah di Sik terjejas akibat ribut

Sik: Sebanyak 30 rumah penduduk di dua kampung di daerah ini terjejas akibat ribut dan hujan lebat, semalam.

Antara kampung terbabit adalah Kampung Berona Kanan dan Kampung Berona Kiri.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, ribut itu dilaporkan berlaku pada 4.45 petang.

Beliau berkata, angin kencang di Mukim Jeneri itu turut mengakibatkan pokok tumbang dan menimpa beberapa rumah serta menghalang lalu lintas.

“Pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sik menerima laporan berhubung kejadian bencana ribut itu pada 5.02 petang daripada orang awam dan MERS 999.

“Tindakan diambil oleh anggota APM adalah dengan membersihkan pokok tumbang serta membantu membersihkan pokok tumbang di sekitar kawasan terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Haisul Aishah berkata, daripada jumlah itu, 10 daripada rumah berkenaan kritikal (rosak), manakala 20 rumah lagi separa kritikal.

Bagaimanapun katanya, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.

Dalam pada itu, kawasan kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kubang Pasu, turut terjejas akibat ribut dan angin kencang yang menyebabkan pokok tumbang dan menimpa kenderaan serta kerosakan bumbung, garaj selain menghalang jalan, petang semalam.

BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BERAMAL KERANA ALLAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *