LETUPAN GAS PUTRA HEIGHTS: KHIDMAT MALAYSIA TUNTUT TINDAKAN PEMBELAAN YANG TELUS, ADIL DAN BERPERIKEMANUSIAAN TERHADAP PARA MANGSA

Khidmat Malaysia menzahirkan rasa dukacita dan solidariti sepenuhnya terhadap semua mangsa tragedi letupan gas di Putra Heights, yang berlaku pada 1 April 2025. Segala kedukaan dan trauma yang dilalui para mangsa ketika menyambut Hari Raya Aidil Fitri ketika tragedi berlaku, sedar tak sedar sudah berlarutan sehingga ke Hari Raya Aidil Adha yang bakal dirayakan oleh Umat Islam pada 7 Jun 2025 ini. Kegembiraan yang diragut beberapa bulan yang lalu seharusnya bertukar menjadi sinar kebahagiaan di ambang menyambut Hari Kebesaran Umat Islam ini. Namun begitu, ia tidak berlaku memandangkan belum ada sebarang bentuk pembelaan yang tuntas atas apa yang dihadapi oleh para mangsa.


Sebagai imbauan bersama, letupan paip utama gas milik PETRONAS Gas Berhad (PGB) kira-kira jam 8:10 pagi telah menyebabkan kemusnahan luar biasa sehingga lebih 80 rumah ranap, ratusan lagi rosak teruk dan lebih 500 penduduk kehilangan tempat tinggal. Trauma, ketakutan dan ketidaktentuan masa depan kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian mangsa. Apa yang lebih mendukacitakan, janji-janji untuk mendedahkan laporan penuh tragedi belum pernah terlaksana termasuklah kenyataan terkini Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari yang mana memaklumkan bahawa laporan penuh siasatan teknikal dijangka siap pada 26 Jun 2025. Namun, penantian itu sudah terlalu lama bagi mereka yang sedang tinggal di rumah sementara atau bergantung kepada ihsan saudara-mara. PETRONAS pula mengesahkan paip yang terjejas telah diasingkan, namun tiada pengumuman mengenai tanggungjawab atau pampasan setakat ini.


Tuntutan dan Desakan Khidmat Malaysia

  1. Pendedahan Segera Laporan Siasatan
    Kami mendesak agar laporan siasatan penuh didedahkan serta-merta. Rakyat berhak tahu punca tragedi dan pihak yang harus bertanggungjawab. Kelewatan ini hanya menambah luka mangsa dan mencetus krisis keyakinan terhadap institusi keselamatan awam.
  2. Pampasan Menyeluruh dan Adil
    Kami menuntut pampasan komprehensif merangkumi:
    •Ganti rugi penuh kerosakan rumah dan harta.
    •Pampasan kehilangan pendapatan.
    •Bantuan perubatan dan pemulihan trauma.
    Biarpun banyak bantuan yang telah disalurkan sama ada dari pihak kerajaan mahupun pihak swasta, Badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan persendirian, bantuan sekali beri tidak cukup untuk memulihkan kehidupan mangsa yang telah musnah secara menyeluruh. Mereka mestilah diberi pampasan untuk sekurang-kurangnya dapat memulihkan keadaan asal mereka sebelum berlakunya tragedi.
  3. Penguatkuasaan Akta Bekalan Gas 1993 [Akta 501]
    Suruhanjaya Tenaga perlu menggunakan sepenuhnya peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang cuai sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan Malaysia seperti:
    •Seksyen 30: Beroperasi tanpa lesen sah.
    •Seksyen 32: Kecuaian menyebabkan kemalangan.
    •Seksyen 35: Kuasa menggantung atau membatalkan lesen.
    Kesalahan ini membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara hingga 5 tahun. Undang-undang tidak boleh hanya wujud di atas kertas. Ia mesti dikuatkuasakan sebaiknya demi kepentingan rakyat.
  4. Pelan Pemulihan Menyeluruh
    Khidmat Malaysia menggesa pelaksanaan pelan pemulihan komprehensif yang merangkumi:
    •Pembinaan semula kediaman sebagaimana asal.
    •Pemulihan infrastruktur asas.
    •Kaunseling dan sokongan mental.
    •Program latihan membina semula perniagaan bagi penduduk yang menjalankan perniagaan di kawasan terjejas.
  5. Kami menuntut agar komuniti di kedua-dua tempat di Putra Height dan Kampung Kuala Sungai Baru diberikan layanan adil dan manusiawi. Antaranya adalah:
    •Penempatan semula segera dan teratur, sekiranya laporan tragedi menyatakan tempat tinggal mereka sudah tidak selamat didiami.
    •Wakil penduduk terlibat dalam perbincangan dasar.
    •Bantuan khas luar jangka dari kerajaan persekutuan dan negeri.
    •Tidak menyekat kebebasan bersuara para mangsa untuk menyatakan pendirian dan kekesalan mereka atas usaha pemulihan yang lambat dan tidak konsisten.

Akhir sekali, Khidmat Malaysia menggesa agar semua mangsa yang terlibat diberikan keadilan dengan sewajarnya kerana mereka adalah warga yang telah lama menyumbang kepada masyarakat. Kami menyeru agar kerajaan, agensi berkaitan dan syarikat utiliti bertindak dengan berani dan berhati nurani. Tindakan segera adalah satu-satunya bahasa keadilan dalam situasi ini.


YB Datuk Dr. Ahmad Marzuk Bin Shaary
Pengerusi Khidmat Malaysia
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *