KHIDMAT MALAYSIA BANTU LKKSP MEMBANGUN RUMAH BUDI 3.0

BANDAR TUN RAZAK, 10 November 2024 –Rumah Budi 3.0 yang diusahakan oleh Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat (LKKSP) telah berjaya dirasmikan di Felda Keratong 1, Bandar Tun Razak, Pahang petang tadi. Majlis penyerahan rumah tersebut telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Dato’ Ustaz Rosli Abd Jabar.

Pengerusi LKKSP, Dr. Rosni Adam berkata, projek Rumah Budi 3.0 ini adalah salah satu inisiatif berterusan PAS untuk membina dan memperbaiki kediaman bagi rakyat yang terkesan akibat kesempitan hidup. Beliau turut menyatakan bahawa, projek ketiga kali ini dilaksanakan dalam keterbatasan sumber, namun dengan sokongan penuh ahli PAS, orang-orang persendirian dan masyarakat setempat, sumbangan tersebut dapat disalurkan dengan berkesan.

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil dalam ucapan beliau sebentar tadi berkata, kesengsaraan rakyat yang tiada tempat berteduh akibat bencana atau pun rosak di mamah usia seharusnya dibantu dengan sebaiknya. Beliau turut menambah, Rumah Budi 3.0 bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, malah mengeratkan lagi hubungan antara PAS, masyarakat, dan NGO-NGO. “Atas inisiatif itu, maka Khidmat Malaysia membuka tangan seluas-luasnya bagi menjayakan usaha yang sangat baik ini.” Ujarnya lagi selepas itu.

Program ini turut dihadiri oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Dato’ Andansura Rabu, ADN Bukit Ibam, Ustaz Nazri Ahmad dan Pengerusi LKKSP Negeri Pahang, Rohaya Razali.

Dalam ucapan perasmian sebentar tadi, Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, projek rakyat ini adalah satu usaha yang penting dalam meringankan beban asnaf untuk memiliki kediaman. Menurutnya lagi, Rumah Budi pertama di Pahang beliau telah memulakan di kawasan beliau di Tanjung Lumpur dan ini adalah kesinambungan usaha-usaha PAS dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat. Beliau turut memberikan nasihat yang berguna buat semua hadirin bahawa perhiasan yang terbaik bukanlah terletak pada perabot dan kelengkapan rumah, akan tetapi dilihat pada rumah yang dihiasi dengan alunan Zikir Memuji Allah dan Ibadah tulus kepada Allah oleh para penghuninya.

“Diharapkan agar program-program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai bukti komitmen bersama untuk menjaga kebajikan rakyat serta memberi impak positif kepada masyarakat yang memerlukan.” Ujar beliau sebelum mengakhiri ucapan sebentar tadi.

Selepas itu, Dato’ Rosli Abdul Jabar yang juga merupakan ADN Tanjung Lumpur melaksanakan, penyerahan kunci Rumah Budi dan seterusnya merasmikan Projek Rumah Budi 3.0 sambil disaksikan oleh setiap tetamu yang hadir.

BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BERAMAL KERANA ALLAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *