TRAGEDI POKOK TUMBANG: SEMUA PIHAK PERLU TINGKATKAN TAHAP KEWASPADAAN.

  1. Khidmat Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail di Kuala Lumpur pada Selasa lepas. Pada kejadian kira-kira 2 petang itu, seorang lelaki berusia 47 tahun maut manakala dua lagi cedera selepas sebatang pokok tumbang menghempap 17 kenderaan dan landasan Monorel, akibat hujan lebat serta angin kuat. Semoga roh mangsa yang terlibat dicucuri rahmat dan diampuni segala dosa oleh Allah SWT.
  • Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima lima panggilan kecemasan mengenai kejadian pokok tumbang di ibu negara susulan hujan lebat dan rebut petang Isnin. Katanya, kejadian pokok tumbang di Jalan Rahmah, Taman Gembira menyebabkan lalu lintas terhalang, manakala di Jalan Selesa 1 Taman Gembira di Jalan Kuchai Lama mengakibatkan bumbung rumah dihempap pokok tumbang, namun tidak membabitkan mangsa. Seterusnya di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, pokok tumbang menghempap sebuah kereta. Di hadapan Menara British, Jalan Pinang, Kuala Lumpur, pokok tumbang menghempap lapan kenderaan iaitu tiga kereta dan lima motosikal. Lokasi terakhir di Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya apabila pokok tumbang menghempap sebuah kereta.
  • Melalui notis MET Malaysia yang terkini, Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 17 Mei 2024 dan akan berterusan sehingga September 2024. Sepanjang tempoh ini, taburan hujan adalah rendah di kebanyakan tempat seterusnya boleh menyebabkan berlakunya fenomena jerebu sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal. Walau bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fonomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah terutamanya pada awal pagi. Garis badai adalah barisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.
  • Khidmat Malaysia juga menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mana-mana pihak berwajib di seluruh negara agar dapat meningkatkan kewaspadaan dengan memantau dan memeriksa tahap keselamatan pokok supaya tidak membahayakan orang awam. PBT bertanggungjawab dalam pemantauan dan mengalihkan mana-mana pokok berisiko yang mungkin membahayakan orang awam.
  • Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik apabila berhadapan dengan situasi ini dan ambil langkah sewajarnya.  Segera hubungi pihak berwajib seperti Bomba, Polis, Ambulan dan yang seangkatan dengannya.
  • Akhir sekali, Khidmat Malaysia sentiasa memerhati dan bersedia menghulurkan bantuan bagi membantu pihak berkuasa sekiranya diminta.
  • Hulurkan sumbangan anda ke akaun KHIDMAT MALAYSIA (Maybank: 5623 8454 2866) untuk membantu mangsa bencana. Sumbangan juga boleh salurkan di link ; https://toyyibpay.com/sumbangan-umum-bencana. Sebarang maklumat atau pertanyaan berkaitan bencana banjir boleh disalurkan ke Hotline Khidmat Malaysia di talian 011-14174789.

Sekian. Wassalam.

“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAN, BERAMAL KERANA ALLAH”

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL, KMN

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia

Tarikh : 9 Dzulkaedah 1445H / 17 Mei 2024

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *