Banjir Afghanistan: Angka korban melebihi 300

KABUL – Lebih 300 orang terkorban dalam banjir kilat yang melanda beberapa wilayah Afghanistan, demikian menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Program Makanan Sedunia (WPF) semalam.

Kematian tersebut dilaporkan ketika pihak berkuasa negara itu mengisytiharkan darurat dan bergegas menyelamatkan mangsa-mangsa yang cedera.

Namun, ramai penduduk masih hilang selepas hujan lebat berlaku pada Jumaat lalu, sehingga menyebabkan air sungai dan lumpur melimpah serta memasuki kampung. Ia turut membanjiri tanah pertanian di beberapa buah wilayah negara itu.

Mangsa-mangsa yang terselamat pula terpaksa memilih untuk melalui jalan berlumpur yang dipenuhi dengan serpihan banjir dan bangunan-bangunan rosak, demikian menurut seorang wartawan AFP.

Pihak berkuasa dan kumpulan bukan kerajaan mengerahkan para petugas penyelamat dan bantuan ke lokasi kejadian, selain memberi amaran bahawa beberapa kawasan terputus hubungan akibat banjir.

Wilayah Baghlan Utara adalah antara yang paling teruk terjejas dengan lebih 300 orang terbunuh, manakala beribu-ribu rumah musnah atau rosak, kata WFP. -KOSMO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *