10 rumah di tujuh kampung di Kuala Muda dilanda ribut

SUNGAI PETANI: Hujan lebat berserta angin kencang yang melanda daerah ini hari ini menyebabkan 10 keluarga di tujuh kampung terjejas dan mengalami kerosakan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azhar Ahmad, berkata antara kampung yang terjejas teruk ialah Kampung Sri Gading (4), Kampung Kuala Dahanan di Jeniang (1) dan Kampung Jalan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeniang (1) di Mukim Gurun.

Beliau berkata, sebuah rumah di Kampung Berapit di Mukim Petula dan tiga rumah di Mukim Sungai Pasir iaitu Kampung Teluk Wang Besar (3), Kampung Teluk Wang Kechil (1) dan Kampung Bukit (1).

“Bagaimanapun jumlah mangsa yang terbabit dalam kejadian ini masih dalam bancian.

“Kejadian angin kencang, hujan lebat dan pokok tumbang ini berlaku pada jam 5.30 petang sehingga menyebabkan kerosakan pada harta benda mangsa.

“Setakat ini kami sedang mengumpul maklumat berkaitan mangsa yang terbabit dan perlu berpindah sekiranya diarahkan,” katanya.

Azhar berkata, kejadian ribut turut menyebabkan banyak pokok tumbang di daerah berkenaan.

Setakat ini, katanya, antara agensi yang terbabit dalam kejadian itu adalah Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis serta penghulu kampung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *