Banjir: 1,684 mangsa masih berlindung di PPS
Seramai 1,684 mangsa banjir masih berada di 19 pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu, Pahang, Kelantan dan Johor setakat 6 pagi ini.
Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa tertinggi masih direkodkan di Terengganu dengan 1,378 orang ditempatkan di 14 PPS di Dungun.
Johor merekodkan 235 mangsa dengan ditempatkan di sebuah PPS di Kota Tinggi dan Mersing; Kelantan (43 mangsa, satu PPS di Tanah Merah) serta Pahang (28 mangsa, dua PPS di Rompin).
Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai masih berada pada paras bahaya di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu.
Antara sungai terlibat ialah Sungai Endau di Mersing, Sungai Punggai dan Sungai Johor di Kota Tinggi (Johor); Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah); Sungai Rompin (Pahang), Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah), Sungai Klang di Petaling (Selangor), Sungai Dungun serta Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).
Nadma turut memaklumkan 34 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak, jalan dan cerun runtuh antaranya di Trolak Selatan di Batang Padang, Perak; Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor dan Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Johor.