KENYATAAN MEDIA: PENURUNAN JUMLAH MANGSA BANJIR DI PPS: BGIB UCAP TAHNIAH DAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA AGENSI DAN ANGGOTA TERLIBAT.

1. Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) Pusat Pengurusan Kecemasan Dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) ingin menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga melihat kepada perkembangan terkini keadaan banjir yang melanda negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak semenjak Disember tahun lalu sehingga lah beransur surut pada ketika ini. Fenomena angin kuat monsun timur laut (MTL) dan hujan lebat berterusan yang melanda negera menyebabkan banjir besar berlaku di sebahagian negeri Kelantan dan Terengganu seterusnya melanda negeri Pahang dan Johor.

2. Bencana banjir yang berlarutan selama lebih sebulan pada kali ini telah memberi kesan kepada 6 Buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak serta melibatkan keseluruhan mangsa berjumlah 36,317 orang daripada 11,131 buah keluarga. Sepanjang tempoh bencana kali ini, mangsa-mangsa telah ditempatkan di hampir 272 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan dibantu oleh agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sebagainya. Bencana kali ini juga telah mencatatkan kematian seramai tiga orang akibat lemas.

3. Penurunan jumlah mangsa kini di PPS merupakan suatu perkara yang positif kepada kita semua. BGIB ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat atas pengurusan PPS yang cemerlang dan mengambil kira segala aspek kebajikan dan keperluan mangsa yang menghuni PPS di setiap negeri yang terlibat. Sebagai NGO yang bergabung di bawah Rakan NADMA, Khidmat Malaysia sempat menziarahi beberapa PPS di beberapa buah negeri untuk menghantar bantuan dan di situ kami melihat sendiri betapa cekap dan efisiennya para pegawai JKM dan agensi-agensi terlibat dalam menguruskan PPS di kawasan tersebut.

4. Menyedari fenomena MTL yang masih belum berakhir, BGIB sentiasa berwaspada dan memantau perkembangan cuaca dan kemungkinan-kemungkinan berlakunya bencana sehingga tamat musim MTL. Justeru, Bilik Gerakan Khidmat Malaysia Negeri-negeri terbabit akan terus dibuka bagi menghadapi segala risiko bencana sehingga bulan Mac 2024 serta memudahkan urusan penyampaian informasi dan melancarkan operasi sekiranya berlaku bencana.

5. Khidmat Malaysia akan terus memberikan informasi berkaitan bencana di seluruh negara dan membantu menyelaraskan operasi selagi mana khidmat kami diperlukan di setiap peringkat bertepatan dengan fungsi BGIB yang telah digariskan.

Sekian. Wassalam.

MOHD ASHRUL HISYAM BIN ABDUL JALIL

Setiausaha Khidmat Malaysia Pusat, Merangkap

Ketua Bilik Gerakan Info Bencana Khidmat Malaysia

Tarikh: 6 Rejab 1445H / 17 Januari 2024

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *