Sabah menjadi negeri terbaru dilanda banjir melibatkan 75 mangsa daripada 29 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Beluran setakat 8 malam ini.

Sementara itu, menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa banjir di Johor dan Pahang terus mencatatkan penurunan kepada 617 orang di 12 PPS malam ini berbanding 891 orang petang tadi.

Di Johor, sebanyak 456 orang berlindung di tujuh PPS, dengan 136 mangsa di satu PPS di daerah Mersing; 124 mangsa di dua PPS di Kota Tinggi; 88 mangsa di dua PPS di Segamat; 85 orang di satu PPS di Kluang; dan 23 mangsa di satu PPS di Batu Pahat.

Di Pahang pula, 143 mangsa masih ditempatkan di dua PPS di Rompin, manakala 18 orang di satu PPS di Pekan.

Dalam pada itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati beberapa sungai di Johor, Pahang, Perak, Perlis, Kedah, Selangor dan Terengganu berada pada paras bahaya malam ini.

Di Johor, sungai terlibat ialah Sungai Johor di Kota Tinggi, Sungai Muar di Segamat dan Sungai Endau di Kluang, manakala di Pahang, Sungai Pahang di Pekan, Bera dan Maran serta Sungai Rompin; Sungai Perak di Hulu Perak (Perak); Sungai Arau (Perlis); Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah); Sungai Klang (Selangor); dan Sungai Terengganu di Kuala Terengganu.

Sementara itu, menurut Nadma, terdapat 46 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh, termasuk Jalan Ladang Siang di Kota Tinggi, Johor; Jalan Kuala Mentiga-Terapai di Pekan, Pahang; dan Jalan Bukit Besi-Dungun di Terengganu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *