Banjir: 3 sungai di Terengganu masih lepasi paras bahaya
Kuala Terengganu: Tiga sungai melepasi paras bahaya, satu sungai merekodkan paras amaran dan lima lagi pada tahap waspada, di Terengganu, setakat jam 8.30 pagi ini.
Secara keseluruhan, paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu mula menunjukkan trend penurunan walaupun masih mencatatkan bacaan melepasi paras normal.
Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, tiga sungai yang melepasi paras bahaya adalah Sungai Terengganu di Drawbridge, Kuala Terengganu (1.9 meter/ m); Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun (13.96 m) dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman (4.4 m).
Selain itu , Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu, melepasi paras amaran dengan bacaan 12.23 m, berbanding paras normal enam m.
Sementara itu, dua sungai di Kuala Nerus serta masing-masing satu di Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman melepasi paras waspada
Di Kuala Nerus, ia membabitkan Sungai Nerus di Kampung Jeram (3.03 m) dan parit utama di Padang Kemunting (3.22 m).
Turut melepasi paras waspada, Sungai Tersat di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu (19.71 m); Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun (37.23 m) dan Sungai Tumpat di Kampung Baru, Kemasik, Kemaman (1.74 m).