Mangsa banjir di Terengganu, Kelantan meningkat

Keadaan banjir di Terengganu dan Kelantan semakin buruk dengan jumlah mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini bertambah berbanding malam tadi, manakala situasi di Selangor dilihat semakin pulih dengan penurunan jumlah mangsa.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa di PPS di empat daerah meningkat secara mendadak setakat 8 pagi ini susulan banjir gelombang kedua iaitu sebanyak 1,182 orang daripada 299 keluarga, berbanding 330 orang daripada 109 keluarga di dua daerah semalam.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), Kemaman dan Dungun menjadi daerah terbaharu yang terjejas selepas Hulu Terengganu dan Setiu mula dilanda banjir Khamis lepas.

Di Hulu Terengganu, 433 mangsa daripada 135 keluarga ditempatkan di lapan PPS iaitu di Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Kampung Menerong, Kampung Kemat, Kampung Pengkalan Ajal, Kampung Paya Besar, Kampung Durian Kassim, Kampung Batu 23, Kampung Bukit Kolam dan Balairaya Pasir Tinggi.

Di Dungun, 551 mangsa daripada 120 keluarga berlindung di sembilan PPS termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Tembah, Dewan Sivik Paka, Balairaya Kampung Pelandang, SK Kg Nyior, SK Balai Besar, SK Tok Kah, Dewan Majlis Sukan Negeri, SK Pusat dan Dewan Serbaguna Seberang Pintasan.

Selain itu di Kemaman, seramai 193 mangsa daripada 43 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu SK Kampung Baru Kerteh, Dewan Orang Ramai Kampung Labohan dan SK Kemasik, manakala di Setiu hanya lima mangsa daripada satu keluarga berlindung di PPS Kampung Besut.

Menurut portal publicinfobanjir.water.gov.my, paras air sungai di tiga stesen utama negeri itu mencapai paras bahaya iaitu Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu; Sungai Nerus di Kampung Langkap dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu.

Empat stesen lagi mencapai paras amaran iaitu Sungai Setiu di Kampung Besut dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Setiu; Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman.

Di KELANTAN jumlah mangsa banjir meningkat semula kepada 1,350 orang daripada 368 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 1,033 orang daripada 289 keluarga yang direkodkan malam tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mangsa dari Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas dan Machang berlindung di 21 PPS.

Di Tanah Merah, mangsa ditempatkan di PPS SK Kelewek, Balai Raya Padang Kijang, SK Alor Pasir, SK Kulim, Sekolah Menengah Ugama (A) Kajang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Bunga, Madrasah Wak Seman Kampung Air Batu dan SK Gual Jedok.

Lapan PPS dibuka di Kuala Krai melibatkan SMK Kuala Krai, Pejabat Veterinar, SK Banggol Guchil, SK Chenulang, Madrasah Kampung Sepuluh, Masjid Chucuh Puteri A, Pusat Komuniti Chuchuh Puteri A dan Madrasah Chuchuh Puteri A.

Di Pasir Mas, mangsa berlindung di SK Gual Tinggi, SK Kampung Rahmat, SMK Baroh Pial dan SMK (A) Lati, manakala mangsa dari Machang ditempatkan di SK Pulai Chondong.

Di SELANGOR, menurut Info Bencana JKM mangsa banjir menurun daripada 105 orang membabitkan 34 keluarga malam tadi kepada 78 orang melibatkan 26 keluarga setakat 9 pagi ini dan semua mangsa ketika ini masih berlindung di PPS SK Jaya Setia dan Balai Raya Parit Mahang di Kuala Selangor.

Portal publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan Sungai Klang di Selat Muara, Klang ketika ini berada pada tahap bahaya dengan bacaan 3.13 meter setakat 8 pagi.

Empat kawasan sungai di negeri itu merekodkan bacaan paras air tahap waspada iaitu Sungai Bernam di Kampung Selisek, Hulu Selangor; Sungai Klang di Rantau Panjang, Kuala Selangor; sungai di RS Batu 8, Kuala Langat dan Sungai Klang di Bandar Klang dengan paras air masing-masing 27.08 meter, 1.82 meter, 7.62 meter dan 2.76 meter.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *