Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Kelantan kekal
Keadaan dan bilangan mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan tidak berubah pagi ini.
Di Terengganu, sebanyak 31 mangsa daripada tujuh keluarga kekal berada di dua PPS di dua daerah setakat 8 pagi tadi.
Menurut sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, sejumlah 22 mangsa daripada lima keluarga masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol di Kuala Terengganu, manakala sembilan mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di PPS SK Kampung Rhu Sepuluh di Setiu.
Walaupun situasi banjir di negeri itu dilihat hampir pulih, sekretariat jawatankuasa bencana itu mengingatkan orang ramai supaya terus berwaspada kerana hujan masih berterusan di beberapa tempat.
Sementara itu di Kelantan, jumlah mangsa banjir tidak berubah iaitu 438 orang daripada 137 keluarga setakat 7.30 pagi tadi.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa berlindung di empat PPS, masing-masing dua di jajahan Pasir Mas dan Bachok.