Mangsa bah di Kedah meningkat, di Perak turun
Jumlah mangsa banjir di Kedah terus mencatat peningkatan, manakala situasi banjir di Perak semakin pulih malam ini.
Di Kedah, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat kepada 210 mangsa daripada 68 keluarga, berbanding 107 daripada 34 keluarga pagi tadi.
Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah Kota Setar menyaksikan pertambahan jumlah mangsa.
“PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah menyaksikan pertambahan mangsa masing-masing kepada 85 dan 94 orang setakat 8 malam ini susulan hujan lebat petang tadi.
“PPS itu dibuka pada Isnin lepas berikutan hujan lebat selama tiga jam menyebabkan banjir di beberapa kawasan antaranya Kampung Lahar, Kampung Paya Tok Keong, Kampung Paya Tok Teh dan Kampung Biak di daerah tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, beliau berkata satu lagi PPS dibuka di Kota Setar iaitu SK Taman Aman yang dibuka pada 5 petang tadi, namun jumlah mangsa dipindahkan ke situ masih dalam bancian.
Keadaan berbeza di Perak, apabila mangsa banjir di tiga daerah pada malam ini terus berkurang kepada 187 daripada 54 keluarga, berbanding 217 daripada 62 keluarga pagi tadi, dengan dua PPS ditutup lewat petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan, memaklumkan PPS Dewan Serbaguna Chikus ditutup sepenuhnya pada 6.30 petang, manakala PPS Dewan Orang Ramai Sri Kinta ditutup pada 7 malam.
Menurut kenyataan itu, empat PPS masih beroperasi iaitu di Dewan Serbaguna Padang Tembak di Hilir Perak dengan 98 mangsa daripada 29 keluarga.
“Di Kerian pula masih kekal dengan 23 orang daripada empat keluarga berlindung di PPS SK Changkat Lobak, manakala jumlah mangsa banjir di PPS SK Alor Pongsu juga kekal 57 orang daripada 19 keluarga,” menurut kenyataan itu.
Sekretariat itu memaklumkan di daerah Kinta pula, sembilan orang daripada dua keluarga masih berada di PPS Dewan Orang Ramai Taman Meru 2A.
_____________________________________________________________
Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) Khidmat Malaysia kini diaktifkan, sebarang pertanyaan, boleh hubungi 011-56553427 (Hotline).
Sumbangan boleh disalurkan pada:
Pertubuhan Pengurusan Kecemasan Bencana (Khidmat Malaysia)
– 12225010037517 (Bank Islam)
– 562384542866 (Maybank)