Lebih 10,000 hilang dalam banjir besar di Libya – IFRC
GENEVA: Kira-kira 10,000 penduduk Libya dipercayai hilang dalam banjir besar yang melanda negara itu, menurut pegawai Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC), hari ini.
“Daripada maklumat sumber bebas kami, adalah disahkan jumlah penduduk Libya yang hilang setakat ini sudah mencecah kira-kira 10,000,” kata Tamer Ramadan, ketua delegasi IFRC di Libya, kepada pemberita di sini melalui pautan video dari Tunisia.
Kira-kira satu perempat daripada bandar Derna di timur Libya musnah akibat banjir besar selepas empangan pecah dalam ribut sebelum ini.
Selain itu, lebih 1,000 mayat sudah ditemui setakat ini, kata seorang menteri dalam pentadbiran yang mengawal timur hari ini.
Ramadan berkata jumlah kematian adalah besar dan mungkin mencecah ribuan.
IFRC katanya, akan melancarkan dana rayuan untuk pembiayaan kecemasan bagi menyokong mangsa banjir Libya.
“Cabarannya yang dihadapi adalah antara akses kepada kemudahan kesihatan asas untuk perkhidmatan kesihatan, pengurusan tempat tinggal dan tempat perlindungan, makanan dan bukan makanan,” kata Ramadan.
– REUTERS