Angka maut terus meningkat, 2,862 disahkan korban gempa Maghribi
Gombak: Gempa bumi melanda Maghribi Jumaat lalu dianggap gempa bumi terkuat dalam tempoh lebih 120 tahun di Afrika Utara menurut Institut Geofizik Kebangsaan Maghribi.
Gempa bumi sekuat 6.8 magnitud yang melanda kawasan terpencil pergunungan High Atlas dan wilayah selatan bandar Marrakech pada jam 11 malam Jumaat lalu mengakibatkan kemusnahan dahsyat terutama kepada struktur kediaman.
Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan berkata, berdasarkan maklumat diterima, 2,862 mangsa maut dan 2,562 lagi cedera terutama di Marrakech, Maghribi dan lima wilayah berhampiran pusat gempa.
“Beribu-ribu mangsa yang terselamat kini sedang menunggu bantuan makanan, air dan sambungan bekalan elektrik.
“Mereka kini menghuni khemah ‘pelarian’ sementara operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan memasuki hari ke empat,” katanya.
Menurutnya, menyedari penderitaan dialami mangsa, MCM akan segera menghantar bantuan kemanusiaan ke negara berkenaan dalam tempoh terdekat.
“Bagi peringkat awal ini, MCM menghantar bantuan bekalan makanan pertama dianggarkan bernilai RM50,000 ke negara itu.
“MCM turut akan menilai keperluan mendesak lain sebelum bantuan susulan dihantar kepada mangsa-mangsa di negara berkenaan,” katanya.
MCM sebelum ini turut menghantar bantuan kemanusiaan bernilai jutaan ringgit kepada mangsa gempa bumi besar melanda bahagian tengah dan selatan Turki dan utara Syria pada 6 Februari 2023 selain di utara Afghanistan Mac lalu.
Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Muslim Care Malaysia melalui nombor akaun Maybank (564490413882), Bank Islam (14014010147470) atau menghubungi talian 0169978323 (Johari Ismail), 0134886447 (Ahmad Safwan) atau 0192049434 (Zuriati Ya’akob) untuk maklumat lanjut.
Difahamkan pada tahun 1960, gempa berkekuatan 5.8 magnitud melanda berhampiran bandar Agadir, Maghribi yang membunuh sekurang-kurangnya 12,000.
Gempa bumi itu mendorong Maghribi mengubah peraturan pembinaan namun banyak bangunan, terutama rumah di luar bandar tidak dibina untuk menahan gegaran gempa bumi.