Tiada rakyat Malaysia terlibat gempa bumi di Maghribi

Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam gempa bumi berukuran magnitud 6.8 yang melanda berhampiran Marrakesh di Maghribi pada Jumaat.

Menteri Luar Zambry Abd Kadir berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Duta Besar Malaysia ke Maghribi Astanah Abdul Aziz bahawa tiada laporan melibatkan rakyat Malaysia diterima setakat ini.

“Saya telah menghubungi Astanah bagi mendapatkan maklumat perkembangan terkini kejadian.

“Semua rakyat Malaysia yang dihubungi setakat ini berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan, sambil mengucapkan takziah kepada kerajaan Maghribi serta semua mangsa terlibat.

Zambry berkata, beliau juga akan menghubungi Menteri Hal Ehwal Luar Maghribi Nasser Bourita bagi mendapatkan maklumat terkini, seterusnya menawarkan sebarang bentuk bantuan diperlukan.

Sementara itu, dalam kenyataan malam tadi, Kedutaan Besar Malaysia di Rabat berkata, pihaknya sedang memantau perkembangan pasca-gempa bumi di negara itu.

Kedutaan turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Maghribi untuk sentiasa berwaspada serta mengikuti prosedur dan garis panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia di sana turut dinasihatkan untuk berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Rabat.

Media melaporkan bahawa lebih 2,000 orang terkorban dalam gempa bumi di Maghribi itu setakat Sabtu.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gegaran gempa bumi yang melanda kawasan pergunungan terletak 72km dari barat daya Marrakesh turut dirasai di bandar Rabat, Casablanca dan Essaouira.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *