Jerebu di Sarawak akibat pembakaran terbuka ‘jiran’, kata kerajaan negeri

Keadaan berjerebu di beberapa bahagian Sarawak sejak Jumaat lalu akibat aktiviti pembakaran terbuka di “negara jiran”, kata seorang timbalan menteri negeri.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni, berkata Pusat Meteorologi Khusus Asean (ASMC) yang berpangkalan di Singapura mengesan kira-kira 1,059 titik pembakaran terbuka di negara jiran itu baru-baru ini, tetapi beliau tidak menamakan negara itu.

“Ini menyebabkan Sri Aman mencatat bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat antara 100 dan 155, manakala Kuching dan Serian mula merekod bacaan IPU tidak sihat sejak 4 Sept,” katanya.

IPU di Kuching dan Serian mencecah 153 pada 6 petang semalam, tetapi sejak itu, ia turun ke bacaan sederhana di bawah 100 setakat 4 petang.

Hazland menggesa rakyat Sarawak tidak melakukan pembakaran terbuka, minum air dengan banyak dan mengurangkan aktiviti luar jika jerebu kembali.

Beliau menasihatkan individu berisiko tinggi memakai pelitup muka apabila keluar dalam keadaan berjerebu dan kementeriannya mengerahkan peronda untuk mengawal pembakaran terbuka di Sarawak bagi mengekang sebarang asap yang akan memburukkan jerebu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *