Ribuan penduduk Taiwan dipindahkan angkara Taufan Haikui

TAIWAN: Hampir 3,000 orang dipindahkan dari kawasan berisiko tinggi Taufan Haikui di timur Taiwan sebagai langkah persediaan menghadapi ribut tropika pertama yang melanda pulau itu dalam tempoh empat tahun.

Taufan Haikui yang membawa hujan lebat pagi ini mempunyai kelajuan angin yang berterusan kira-kira 140 kilometer sejam (km/j) dan dijangka mendarat di kawasan Taitung, timur Taiwan pada 5 petang waktu tempatan (0900 GMT).

Sekolah dan pejabat di sekitar bahagian selatan dan timur pulau terbabit ditutup hari ini dengan lebih 200 penerbangan domestik dibatalkan.

Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen, hari ini berkata Taufan Hakui itu menjadi yang pertama mendarat di pulau itu serta mengingatkan orang ramai supaya membuat persiapan menghadapi taufan.

“Berhati-hati dengan keselamatan dan elakkan daripada keluar atau melakukan sebarang aktiviti berbahaya,” katanya.

Timbalan Pengarah Biro Cuaca Pusat Taiwan, Fong Chin-tzu, dalam sidang medianya berkata ribut itu berada sekitar 180km ke timur Taiwan sejurus sebelum jam 9 pagi waktu tempatan dan menggesa orang ramai untuk lebih berjaga-jaga.

Katanya, taufan itu dijangka membawa ancaman besar kepada kebanyakan kawasan di Taiwan dengan angin, hujan dan ombak, sambil menyatakan ribut itu akan bergerak ke barat di Selat Taiwan menjelang esok.

Kementerian Dalam Negeri berkata pihak berkuasa sudah memindahkan lebih 2,800 orang di tujuh bandar di Taiwan, majoriti mereka adalah dari daerah pergunungan Hualien berdekatan dengan Taitung.

Beberapa jalan di Hualien lengang hari ini akibat dilanda hujan lebat yang tidak henti-henti.

Tentera turut menggerakkan pasukannya dan peralatan seperti kenderaan amfibia dan botnya di sekitar bahagian Taiwan di mana Haikui dijangka akan menerima kesan paling teruk.

Ribut besar terakhir yang melanda Taiwan ialah Taufan Bailu pada 2019 dan menyebabkan seorang maut.

Taufan Haikui dijangka kurang teruk berbanding Saola, yang melanda Taiwan sehingga mencetuskan tahap ancaman tertinggi di Hong Kong dan selatan China sebelum ia menjadi ribut tropika – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *