Cuba selamatkan anak, bapa lemas di Pantai Miami

Kegembiraan tiga beranak berkelah di tepi Pantai Miami, Jalan Batu Feringgi bertukar tragedi apabila si bapa lemas ketika cuba menyelamatkan anaknya.

Haryadi Salleh, 43, berasal dari Jitra, Kedah dikatakan bercuti di Pulau Pinang bersama isteri dan anaknya.

Pegawai Pertahanan Awam Unit Tanjung Bungah, Mohd Lili Ibrahim berkata anak mangsa berusia 13 tahun diselamatkan orang awam dalam kejadian kira-kira 4.30 petang tadi.

“Namun, sebaik anaknya berjaya diselamatkan orang awam, mangsa pula dikhuatiri lemas sebelum ditemui kira-kira 70m dari menara tinjau Angkatan Pertahanan Awam,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang bagi tindakan lanjut.

Komander Operasi dari Balai Bomba Bagan Jermal, Ahmad Rezki Faris Ismail berkata lapan anggota, termasuk dua dari Pasukan Penyelamat di Air tiba di lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.

“Keadaan ombak ketika itu tidak bergelora walaupun selepas hujan dan pantai juga dipenuhi pengunjung yang berkelah serta mandi-manda.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *