Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah memindahkan lapan keluarga membabitkan 29 orang yang terjejas dalam kejadian ribut di Flat Ampang Hilir semalam.

Bahagian Perhubungan Awam dan Sekretariat, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berkata, kesemua mereka dipindahkan ke Pusat Pemindahan di Dewan Persatuan Penduduk Flat Ampang Hilir.

“Sebanyak 18 unit flat terjejas dalam kejadian berkenaan dan kerja-kerja mengalihkan bumbung oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta MPAJ sedang dijalankan.

“Selain MPAJ turut memberikan bantuan logistik dengan menyediakan tiga khemah dan kerusi di pusat pemindahan berkenaan,” katanya seperti dilapor BH, hari ini.

Semalam, media melaporkan hujan lebat dan angin kencang yang berlaku petang semalam menerbangkan bumbung rumah pangsa dan gerai dalam kejadian di Taman Ampang Hilir, di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilapor berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.49 petang.

Sementara itu, mengulas mengenai kerja penambahbaikan bumbung berkenaan, JKM akan merujuk perkara itu kepada Pejabat Dewan Undangan Negeri (Dun) atau Ahli Parlimen.

“Kos dan kerja pembaikan akan dirujuk kepada pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB), Pejabat Dun atau Ahli Parlimen,” katanya. -HMETRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *