Darurat di Bandung akibat kebakaran tapak pelupusan sampah
BANDUNG: Pihak berkuasa tempatan (PBT) mengisytiharkan darurat susulan kebakaran di sebuah tapak pelupusan sampah di wilayah Jawa Barat, Indonesia.
Langkah itu dilakukan setelah asap tebal dan bau busuk akibat kebakaran yang berlanjutan selama beberapa hari itu menjejaskan penduduk berhampiran.
Kebakaran di tapak pelupusan sampah Sarimukti terletak di Bandung itu berlaku sejak Selasa lalu.
Menurut pihak pengurusan sebuah klinik kesihatan tempatan, sekurang-kurangnya 67 orang yang tinggal berhampiran tapak pelupusan itu menghidap jangkitan pernafasan ringan.
Malah, jelasnya, dua penduduk terpaksa dikejarkan ke hospital akibat kesan kebakaran itu.
Pengetua sebuah sekolah menengah agama berhampiran lokasi kebakaran memaklumkan semua pelajarnya diarahkan untuk kekal berada di rumah disebabkan kepulan asap tebal.
“Asap tebal mengganggu aktiviti pembelajaran. Ia juga mengancam kesihatan para pelajar.
“Kami agak bimbang dengan kesihatan mereka kerana asap dari tapak pelupusan sampah adalah berbeza,” kata Amin Bunyamin.
Pasukan bomba yang menggunakan sekurang-kurangnya 30 jentera berusaha memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah seluas 25 hektar itu, namun masih gagal.
Pihak berkuasa menyatakan cuaca panas dan angin kencang menyebabkan kebakaran masih marak.
Bupati Jawa Barat Henky Kurniawan berkata, situasi itu memaksa kerajaan tempatan mengisytiharkan darurat selama 21 hari di kawasan berkenaan.
Khamis lalu, Hengky berkata, kebakaran itu berpunca daripada api putung rokok yang dibuang dan menggesa penduduk tidak melakukan perbuatan itu lagi terutamanya ketika musim kemarau.
Katanya, PBT tidak mempunyai peralatan yang mencukupi untuk mengawal kebakaran, justeru, bom air diperlukan untuk memadamkan api.
Tapak pelupusan sampah itu merupakan hab sisa pepejal untuk bandar dan kawasan sekitarnya termasuk Bandung, salah satu bandar mempunyai paling ramai penduduk di Indonesia. – AFP/AGENSI