Lima maut, 40,000 dipindahkan akibat banjir di Myanmar
BAGO, (Myanmar): Lima terkorban dan kira-kira 40,000 dipindahkan akibat banjir dan tanah runtuh disebabkan hujan monsun di Myanmar.
Rakaman dari negeri Rakhine, yang musnah pada Mei lalu oleh Taufan Mocha, menunjukkan kawasan besar kampung dan tanah ladang ditenggelami air keruh.
Setiap tahun Myanmar dilanda hujan lebat, tetapi kini cuaca lebih ekstrem melanda di seluruh dunia sejak beberapa minggu kebelakangan ini, yang disifatkan saintis sebagai teruk akibat perubahan iklim.
Di Bago, timur laut Yangon, beberapa penduduk berpindah lebih awal berikutan air yang naik dengan cepat.
“Banjir berlaku setiap tahun di Bago tetapi ini yang paling teruk. Biasanya, air sedalam paras lutut atau paha semasa musim hujan.
“Sesetengah keluarga berpindah ke biara kerana di sesetengah tempat, paras air lebih tinggi dua kali ganda ketinggian saya,” kata penduduk Bago, Soe Min Aung.
Dilaporkan, lebih 870 orang bersesak-sesak ke dalam sebuah biara Bago dan menerima makanan daripada sami dan penderma. – AFP