Bumbung tercabut, belalai darat badai Tanjung Bidara

ALOR GAJAH: Pusaran angin kuat seakan-akan puting beliung yang membadai hampir 30 buah rumah di Kampung Balik Batu dan Kampung Pasir Gembur, Tanjung Bidara di sini, pagi kelmarin benar-benar meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk terlibat.

Majoriti rumah terlibat dengan fenomena dipanggil belalai darat itu mengalami kerosakan teruk terutama pada bahagian bumbung yang diterbangkan angin berkenaan.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, salah seorang mangsa, Aishah Abdul Ghani, 56, berkata, insiden mengejut kira-kira pukul 8.50 pagi itu bermula dengan hujan renyai sebelum kedengaran tiupan angin kencang yang membentuk belalai darat membadai rumahnya dalam sekelip mata.

Ujarnya, kelajuan pusaran berkenaan disifatkan sebagai luar biasa memandangkan suaminya, Abdul Rahman Daud, 63, yang ingin keluar dari rumah untuk mengangkat pakaian di ampaian terpaksa berpaut pada pintu jeriji besi semasa bencana berlaku.

“Ketika itu saya tengah lipat kain baju, tiba-tiba sahaja cuaca yang elok bertukar hujan renyai. Saya meminta suami mengangkat pakaian disidai di bahagian belakang rumah.

“Apabila suami sampai sahaja di pintu dapur, satu pusaran angin datang dan menerbangkan semua bumbung di belakang manakala suami berpaut kuat pada pintu jeriji,” katanya.

“Alhamdulillah kami selamat walaupun suami hampir terkena renjatan elektrik, hanya mengalami kerugian kerosakan bumbung sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Pertahanan Awam Unit Masjid Tanah (UMT), Leftenan (PA) Shahrul Riza Saiful Bahry ketika berkata, maklumat berhubung bencana diterima pukul 9 pagi dan sepasukan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi bagi memberi bantuan.

“Setakat bancian awal, sebanyak 10 rumah di Kampung Balik Balik Batu dan lima lagi di Kampung Pasir Gembur mengalami kerosakan pada bumbung. Kita telah memberi bantuan dalam kerja-kerja membersihkan sisa bumbung yang tersangkut di rumah penduduk,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *