Banjir di Korea Selatan sudah ragut 39 nyawa

CHEONGJU: Sekurang-kurangnya 39 maut manakala sembilan lagi hilang, selepas terperangkap dalam terowong yang dipenuhi banjir, di Korea Selatan.

Sehingga kini, pasukan penyelamat dilaporkan masih bertungkus-lumus untuk membawa keluar mereka yang masih terperangkap dalam terowong itu, selepas hujan lebat menyebabkan banjir dan tanah runtuh.

Korea Selatan dilanda hujan lebat sejak empat hari lalu ketika negara itu kini sedang berada di kemuncak musim tengkujuh.

Kementerian Dalam Negeri melaporkan 39 terbunuh dan sembilan lagi hilang di seluruh negara dalam hujan lebat, kebanyakannya tertimbus oleh tanah runtuh selain terjatuh ke dalam takungan banjir.

Menurut kementerian itu, ratusan anggota penyelamat masih bergelut untuk melakukan operasi pada sekurang-kurangya 10 buah kereta yang dikesan berada pada terowong berkenaan.

Mereka juga berhempas pulas cuba membawa keluar sejumlah mangsa yang masih terperangkap dalam terowong bawah tanah sepanjang 430 meter di Cheongju, wilayah Chungcheong Utara.

Anggota penyelamat cuba mengalirkan air keluar dari terowong untuk menyelamatkan mangsa.

Namun usaha itu terhalang disebabkan paras air yang masih dalam di terowong terbabit. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *