Air Sungai Yamuna melimpah, New Delhi banjir

NEW DELHI: Beberapa kawasan di ibu negara India, dilanda banjir, hari ini selepas air dari Sungai Yamuna yang mengalir melalui bandar ini, mengalir masuk berikutan kerosakan alat kawalan perparitan.

Jalan raya yang mengelilingi Red Forf, kota merah ikonik bandar ini dinaiki air sepenuhnya dengan trak dan bas yang rosak tersadai di beberapa tempat, hanya cermin depan dan bumbung kenderaan yang kelihatan di atas air.

Jurucakap kerajaan negeri berkata, alat kawalan itu yang terletak berhampiran Stesen Metro Indraprastha telah lama rosak dan pecah sekitar jam 7 malam tadi.

“Kerosakan alat kawalan itu menyebabkan air banjir Sungai Yamuna mengalir ke arah bandar sebagai aliran balik,” kata jurucakap kerajaan berkenaan yang memberitahu bahawa kerja sedang dijalankan untuk membaiki kerosakan itu.

Kerajaan negeri juga meminta bantuan Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan dan tentera, kata Ketua Menteri Delhi, Arvind Kejriwal.

Jalan raya sekitar Rajghat, sebuah tugu peringatan yang didedikasikan untuk Mahatma Gandhi ditenggelami air dengan air juga mengalir ke kawasan peringatan itu.

Kawasan bandar ini yang menempatkan beberapa pejabat swasta dan kerajaan, termasuk ibu pejabat polis Delhi, turut dinaiki air.

Pergerakan di rangkaian rel metro terjejas dengan perkhidmatan menjadi 20 minit lebih perlahan. – REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *