10 rakyat Malaysia terkandas di India selamat

NEW DELHI – Sepuluh rakyat Malaysia yang terperangkap di negeri Himachal Pradesh, India yang dilanda banjir, selamat dan dijangka tiba di New Delhi pada Khamis, kata Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra).
Sebelum ini, 12 pendaki Malaysia dilaporkan hilang di wilayah India itu selepas keluarga mereka tidak dapat menghubungi mereka.
Dalam kenyataan pada lewat Rabu, Wisma Putra menjelaskan bahawa daripada 12 individu itu, sebenarnya seorang adalah warganegara China dan seorang lagi adalah warganegara British.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi berjaya menghubungi salah seorang daripada rakyat Malaysia yang terkandas di situ dan menerima maklumat bahawa kesemua mereka selamat dan berada di bandar Manali, kata Wisma Putra.
Misi diplomatik itu sedang berusaha membawa rakyat Malaysia ke New Delhi pada Khamis.
“Jika rancangan evakuasi berjalan lancar, kumpulan itu dijangka pulang ke Malaysia pada hari yang sama dengan penerbangan,” kata kenyataan itu.
Hujan monsun yang lebat telah menyebabkan banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan utara India.
Negeri Himachal Pradesh di mana rakyat Malaysia itu terkandas merupakan negeri yang paling terjejas.