Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung, kesan tiga lagi mangsa

KEMAMAN: Usaha mengesan baki tiga lagi mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih di sini diteruskan hari ini dengan fokus pencarian turut diberikan kepada kawasan sekitar sungai.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Azman Alias berkata, seramai 170 kekuatan digerakkan dan dipecahkan kepada tiga sektor yang merangkumi radius 32 kilometer persegi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula jam 9 pagi turut diberi tumpuan di kawasan tebing dan permukaan sungai berikutan penemuan mayat mangsa sebelum ini.

“Untuk hari ini, kita akan tumpu kepada sektor A, B dan C di kawasan sungai. Dan kita akan buat pencarian juga di kawasan tebing.

“Sebab, mangsa keempat, lima dan enam, semua kita jumpa di darat, tersangkut di belukar dan semak serta di bawah rimbunan kayu.

“Dan kita percaya, masih ada lagi baki yang tersangkut di kawasan semak berikutan semasa kejadian kepala air itu, paras air dianggarkan pada ketinggian 10 kaki, meliputi kawasan tebing dan belukar,” katanya ketika ditemui pada hari ketiga operasi SAR mangsa tragedi kepala air hari ini.

Pencarian hari ini masih tertumpu di pecahan tiga sektor A, B dan C di sepanjang Sungai Air Putih, Sungai Teladas dan Sungai Pinang, dengan kekuatan 170 anggota daripada pelbagai agensi penyelamat.

Azman berkata, pencarian juga turut diperhebat dengan bantuan enam ekor anjing pengesan K9 daripada JBPM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu, mayat dipercayai remaja perempuan dijumpai penduduk di belakang Masjid Dadong, kira-kira jam 7.45 pagi.

Dengan penemuan itu, menjadikan seramai tujuh mangsa tragedi berkenaan telah ditemui setakat ini.

Tragedi pada Sabtu melibatkan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang, iaitu Karim Abdullah, 39 tahun, Azizah Eiyi, 40 tahun, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18 tahun, Putri Alleya Maisarah Karim, 16 tahun, Putri Nor Fatin Karim, 14 tahun, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11 tahun, Putri Nurerina Natasya Karim, 10 tahun, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6 tahun, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4 tahun.

Turut serta, tunang Putri Balqis Izzati, Muhammad Fikri Saliman, 24 tahun, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Mereka telah pergi berkelah di jeram berkenaan sebelum hilang dihanyutkan air deras kepala air.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *