Cuaca kering, 5 negeri dijangka berlaku gangguan air

Beberapa daerah di lima negeri dijangka berdepan gangguan air susulan cuaca panas dan kering, kata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran meramalkan gangguan bekalan dijangka melanda di Sik, Baling, dan Kulim, Kedah; Seberang Perai Utara, Pulau Pinang; Alor Gajah dan Melaka Tengah, Melaka; Kuala Krai, Gua Musang, Machang, Kota Bharu, Tanah Merah, dan Pasir Mas, Kelantan; serta Bintulu di Sarawak.

Nadma berkata, paras air di Empangan Muda, Kedah, menyusut dan berada pada paras kritikal 40%, yang mana paras air berada pada tahap 30.48%, berbanding 32.87% pada minggu sebelumnya.

Dalam pada itu, Empangan Timah Tasoh, Teluk Bahang, dan Sembrong Barat masing-masing di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan Johor, berada pada tahap amaran susulan paras air antara 41 hingga 50%.

Agensi itu berkata, Kementerian Kesihatan menerima 53 kes kumulatif penyakit berkaitan cuaca panas melibatkan lima kes strok haba, 29 kelesuan haba, dan 19 kejang haba.

“Tiada kes kematian baharu dilaporkan. Ini menjadikan bilangan kumulatif kes kematian akibat strok haba kekal satu sahaja yang dilaporkan pada 25 April,” katanya dalam kenyataan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *