2 maut, 28 hilang akibat banjir dan tanah runtuh di Nepal

KATHMANDU: Dua orang maut dan 28 lagi dilaporkan hilang akibat banjir besar dan kejadian tanah runtuh di timur Nepal, kata pihak berkuasa pada Ahad (18 Jun).

Seorang pekerja di sebuah projek empangan kuasa hidroelektrik di Sungai Hewa yang sedang dibina ditemui mati, manakala 17 kakitangan lain dilaporkan hilang pada petang Sabtu (17 Jun), menurut pegawai tempatan.

Seorang lagi mangsa ditemui di daerah jiran, Taplejung.

Tiga anggota keluarganya tidak dapat dikesan selepas rumah mereka dihanyutkan dalam satu kejadian tanah runtuh.

“Dua mayat sudah ditemui, namun 28 individu lain masih hilang,” kata seorang jurucakap polis Nepal, Rishi Tam Khandel.

‘Kami sudah meningkatkan operasi mencari dan menyelamat,’ tambahnya.

Jalan-jalan raya dan jambatan yang rosak, menyukarkan pasukan menyelamat memasuki kawasan terjejas, kata Mohanmani Ghimire, penolong ketua pegawai daerah di Sankhuwasabha.

“Jentera dan peralatan yang digunakan dalam projek pembinaan empangan kuasa hidroelektrik hanyut dibawa arus,” tambahnya.

“Ada juga laporan tentang rumah yang mengalami kerosakan.”

Hujan monsun dari Jun ke September menyebabkan jumlah kematian dan kerosakan meluas setiap tahun di negara itu. Namun kejadian banjir dan tanah runtuh yang teruk semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Para pakar berkata perubahan iklim dan meningkatnya kerja-kerja membina jalan raya mungkin mencetuskan bencana tersebut.

Sumber : AFP/AE/ae

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *