Biparjoy dikhuatiri cetus banjir besar di India, Pakistan

MANDVI: Hujan lebat berserta angin kencang melanda pantai barat India dan selatan Pakistan ketika Siklon Biparjoy bergerak ke kawasan pantai yang dikhuatiri boleh mencetuskan banjir kilat.

Angin kencang yang dibawa siklon itu menyebabkan sekurang-kurangnya 524 batang pokok di Gujarat tumbang, selain 940 kampung terputus bekalan elektrik.

Sebanyak 3,500 tiang elektrik juga dilaporkan tumbang di beberapa kawasan di sekitar Gujarat.

Beberapa jam sebelum ribut membadai, langit gelap dapat dilihat di beberapa kawasan di sekitar India dan Pakistan. selain ribut pasir juga dilaporkan berlaku sehingga menyukarkan proses pemindahan penduduk ke pusat perlindungan semantara.

Biparjoy membawa angin kencang sekuat 120 kilometer sejam dan diramalkan semakin melemah ketika bergerak ke negeri Gujarat di India.

Di India, daerah Kutch berhampiran pelabuhan Jakhau yang menyaksikan Biparjoy melanda, pihak berkuasa menjangkakan peningkatan paras air laut dan siklon itu dijangka bergerak ke selatan Pakistan pada malam ini.

Seramai 100,000 penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan di India, manakala di Pakistan, sebanyak 73,000 orang dipindahkan.

Wilayah Sindh di Pakistan yang mengalami bencana banjir besar pada tahun lalu sehingga mengorbankan lebih 1,700 orang dan 33 juta hilang tempat tinggal turut menjadi laluan Biaparjoy.

Keadaan itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk di kawasan terlibat kerana mereka masih dalam proses pemulihan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Pakistan, Shahbaz Sharif menerusi Twitter memaklumkan, kerajaan sudah mengambil semua langkah pencegahan bagi memastikan keselamatan penduduk, terutamanya mereka yang duduk di kawasan berisiko tinggi.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Gujarat juga menyatakan perancangan rapi sudah dibuat bagi menghadapi pasca siklon seperti penyambungan bekalan elektrik, talian telefon dan kemudahan penting yang lain. – AP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *