Op Ramah dilancar tangani kemungkinan kesan Monsun Barat Daya

KUALA LUMPUR: Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan melaksanakan Op Ramah bagi menangani sebarang kemungkinan ancaman dan risiko bencana di ‘lokasi panas’ dalam negara susulan Monsun Barat Daya mulai Jumaat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata Op Ramah yang dilancarkan julung kali itu adalah sebagai platform bagi beberapa agensi dan jabatan kerajaan menjalinkan kerjasama dalam memantau, mengawasi, mencegah dan mengambil tindakan menangani sebarang kemungkinan ancaman dan risiko bencana.
“Secara amnya, pelbagai agensi dan jabatan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh mengadakan kerjasama melalui platform Op Ramah berkenaan.
“Objektif pelaksanaan Op Ramah itu adalah dengan melakukan rondaan dan pemantauan di lokasi-lokasi tumpuan yang dikenal pasti bagi tujuan pencegahan daripada berlakunya perkara yang lebih buruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, khidmat nasihat kepada orang awam mengenai perkara yang dilarang khususnya berkaitan dengan cuaca ketika Monsun Barat Daya juga akan diberikan.
“Selain itu panduan dan kesedaran awam kepada penduduk di lokasi-lokasi tumpuan yang dikenal pasti turut akan diadakan.
“Laporan atau aduan kepada agensi berkaitan sekiranya terdapat perkara-perkara yang boleh mendatangkan keburukan mahupun bencana perlu dilakukan,” katanya.
Jelas beliau, pihak APM dan JAS telah mengenalpasti sebanyak 169 kawasan dalam radius antara 10 hingga 30 Kilometer (km) dari pejabat operasi APM yang berkemungkinan berlakunya insiden pembakaran terbuka, pembuangan sisa toksik, pencemaran air, membuat pemeriksaan paras air empangan dan sebagainya.
“Bagi menjayakan operasi berkenaan, seramai 427 anggota bantuan tambahan APM tidak termasuk 10,510 anggota tugasan harian kecemasan dan bencana bersiap sedia untuk ditugaskan.
“Tempoh penugasan Op Ramah berkenaan akan bermula pada 26 Mei 2023 dan dijangka tamat pada 30 September 2023. Sebarang arahan, pindaan atau penamatan operasi ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Op Ramah yang merupakan langkah proaktif kerajaan melalui APM bagi menyantuni orang awam dengan memberi khidmat nasihat dan menyampaikan mesej kesedaran mengenai risiko yang boleh berlaku sepanjang tempoh MBD.
Katanya, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, monsun barat daya telah bermula pada 15 Mei 2023 dan akan berterusan sehingga September 2023.
“Sepanjang tempoh itu, taburan hujan adalah rendah di kebanyakan tempat dan boleh menyebabkan situasi kemarau, jerebu, pencemaran alam atau udara dan sebagainya serta boleh mendatangkan kemusnahan kepada sektor pertanian dan menjejaskan rantaian beberapa sektor ekonomi,” katanya.
BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN .. BERAMAL KERANA ALLAH