Taufan Mocha ranapkan negeri asal Rohingya

KYAUKTAW: Puluhan ribu penduduk yang tinggal di sekitar bandar pelabuhan utama Myanmar terputus hubungan selepas Taufan Mocha membadai bahagian barat negara itu dan Bangladesh.

Taufan yang dahsyat itu membadai di antara Cox’s Bazar di Bangladesh dan Sittwe di Myanmar dengan membawa angin kencang sehingga 195 kilometer sejam (km/j).

Ia disifatkan sebagai ribut paling besar yang melanda Teluk Benggala dalam tempoh lebih sedekad.

Semalam, taufan itu sebahagian besar melintasi tanpa menjejaskan kem pelarian terbesar dunia yang menempatkan hampir sejuta penduduk Rohingya di Bangladesh.

Malah, pegawai mengesahkan tiada laporan kematian di kem berkenaan.

Berdasarkan sistem penjejak taufan, akses komunikasi di Sittwe yang menempatkan kira-kira 150,000 penduduk terjejas bencana itu, masih mengalami gangguan.

Menurut wartawan AFP, laluan jalan ke bandar itu dipenuhi dengan pokok, tiang lampu dan kabel kuasa yang tumbang akibat taufan itu.

Katanya, barisan panjang kenderaan penuh dengan pasukan penyelamat dan penduduk tempatan cuba sampai ke bandar serta mencari ahli keluarga mereka, juga terbentuk.

“Kami memandu jalan yang terjejas akibat taufan itu semalam.

“Sepanjang menggunakan laluan itu, kami terpaksa memotong pokok yang tumbang dan mengalihkan tiang lampu namun beberapa pokok besar masih menghalang jalan,” kata seorang pemandu ambulans.

Katanya, dia dan penduduk lain menggunakan gergaji untuk memotong dahan pokok yang tumbang dan menghalang jalan.

Berdasarkan beberapa gambar tular di media sosial, taufan itu melanda kawasan darat semalam, dengan membawa gelombang ribut dan angin kencang yang meruntuhkan sebuah menara komunikasi di Sittwe.

Media sekutu junta melaporkan taufan itu mengakibatkan ratusan stesen pengkalan yang menyambungkan telefon bimbit ke rangkaian, tidak berfungsi di negeri Rakhine itu.

“Saya mahu pulang secepat mungkin kerana kami tidak tahu keadaan di Sittwe.

“Tiada rangkaian telefon mahupun internet, saya risau dengan keadaan rumah dan harta benda saya,” kata seorang penduduk yang enggan mendedahkan identitinya.

Selain itu, media kerajaan melaporkan ketua tentera Myanmar, Min Aung Hlaing sudah mengarahkan pegawai melakukan persiapan bagi bantuan pengangkutan Lapangan Terbang Sittwe.

Bagaimanapun, laporan media itu tidak memberikan butiran mengenai bila bantuan itu dijangka tiba.

Pasukan penerangan junta mengesahkan tiga orang maut dan beberapa penduduk cedera akibat Taufan Mocha.

Katanya, dua mangsa yang maut merupakan penduduk wilayah Rakhine manakala seorang lagi dari Ayeyarwady selatan.

KEROSAKAN TERUK

Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan masalah komunikasi itu menyebabkan pihaknya masih belum dapat menilai kerosakan di wilayah Rakhine.

“Laporan awal menunjukkan berlaku kerosakan yang teruk,” jelas Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan.

PENDUDUK BANGLADESH DIPINDAHKAN

Sementara itu, penduduk tinggal di pulau Shah Porir Dwip di Bangladesh mula membaiki rumah yang rosak selain mencari harta benda milik mereka dari serpihan.

Menurut pegawai Bangladesh, pihaknya berjaya memindahkan kira-kira 750,000 penduduk.

Setiausaha kementerian pengurusan bencana, Kamrul Hasan mengesahkan tiada orang meninggal dunia akibat taufan itu. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *