Kelantan tubuh jawatankuasa tangani fenomena El Nino

BACHOK: Kerajaan negeri akan menubuh jawatankuasa bersama agensi negeri dan persekutuan untuk memastikan fenomena El Nino tidak menjejaskan sektor pertanian di Kelantan.

Timbalan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Abdul Azziz Kadir berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan anggota Exco Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Menurutnya kawasan tanaman padi diberi tumpuan termasuk yang dikelola Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin-Semerak.

“Perkara itu dicadangkan anggota Exco Pertanian ketika dialog bersama petani di Surau Kampung Batu Jelawat susulan masalah kekurangan air dan saluran air pecah.

“Semua wakil agensi berkaitan pertanian turut hadir dan pada majlis itu kelmarin. Exco memaklum akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan masalah tersebut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Abdul Azziz yang juga Adun Jelawat berkata, sebagai langkah jangka pendek kerajaan negeri menyediakan peruntukan bagi kawasan yang berhadapan masalah air di kawasan pertanian.

Menurutnya juga melalui peruntukan Exco Pertanian, setiap Dun yang terlibat dengan masalah bekalan air menerima peruntukan sebanyak RM20,000 bagi membeli pam air untuk diagihkan kepada petani terlibat. – HARAKAHDAILY 10/5/2023

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *