‘Sayu hati melihat keluarga mangsa kebakaran’

SANDAKAN: Pengerusi Khidmat Malaysia, Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, suasana di lapan buah pusat penempatan sementara (PPS) dan kawasan kebakaran di Kampung Bahagia, di sini amat menyayat hati serta memerlukan sokongan berterusan daripada masyarakat.
“Mangsa-mangsa di sini masih lagi mengharapkan bantuan daripada pelbagai pihak bagi meneruskan kehidupan dalam keadaan serba kekurangan ini.
“Bantuan yang kami bawa hari ini bukanlah penamat, sebaliknya akan disusuli dengan siri bantuan yang akan datang,” katanya yang melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa kebakaran di PPS, semalam. (Foto atas)
Khidmat Malaysia telah berkolaborasi bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dalam misi membantu meringkan beban yang ditanggung mangsa-mangsa kebakaran.
Antara yang hadir ialah Pengarah Khidmat Malaysia Negeri Sabah, Sahar Abdul Majid, Timbalan Pengerusi Muslim Care Malaysia, Mohd Johari Ismail dan Ketua Muslimat PAS negeri, Norsah Bongsu.
Beberapa NGO yang turut serta, antaranya Nisa Sabah, Sabah Relief, Untukmu Sandakan, Batu Sapi Prihatin dan Sandakan Prihatin.
Program siri kedua itu memberi manfaat kepada lebih 385 ketua isi rumah yang ditempatkan di PPS.

Mangsa kebakaran turut menzahirkan rasa syukur dan merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan Khidmat Malaysia dan NGO dari awal sehingga ke saat ini terus menghulurkan sumbangan.
Pada 19 April lalu, telah berlaku satu kebakaran besar di Kampung Bahagia melibatkan 1,200 buah kediaman musnah mengakibatkan lebih 9,000 penduduk hilang tempat berlindung.