MAJLIS APRESIASI KHIDMAT MALAYSIA 2025

Dewan Seri Mentaloon hari ini menjadi saksi kepada pengiktirafan dan penghargaan terhadap para sukarelawan Khidmat Malaysia yang sentiasa berada di barisan hadapan ketika rakyat berdepan dengan musibah dan bencana.

Majlis Apresiasi Khidmat Malaysia 2025 ini dirasmikan oleh YB Mejar (B) Mansor Zakaria, Exco Kerajaan Negeri Kedah, yang hadir mewakili YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah Darul Aman. Dalam ucapan perasmian, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua sukarelawan yang telah berbakti tanpa mengira masa, tenaga dan situasi.

Dalam majlis penuh penghargaan ini, beberapa kategori anugerah telah disampaikan bagi meraikan sumbangan negeri, individu serta rakan strategik yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam pengurusan bencana dan kerja-kerja kemanusiaan.

Bagi Anugerah Pengurusan Organisasi Bencana Terbaik (Negeri Mengalami Bencana), pengiktirafan diberikan kepada tiga negeri iaitu Kedah, Terengganu dan Selangor yang berjaya menguruskan situasi bencana dengan teratur dan berkesan. Sementara itu, untuk kategori Pengurusan Organisasi Bencana Terbaik (Negeri Membantu), Kedah, Selangor dan Terengganu sekali lagi dinobatkan sebagai negeri yang cekap menghantar bantuan dan sokongan kepada kawasan-kawasan yang dilanda musibah.

Dalam aspek operasi di lapangan, Bilik Gerakan Negeri Terbaik dianugerahkan kepada Kedah, Terengganu dan Pahang yang telah membuktikan kemampuan menggerakkan logistik dan koordinasi dengan pantas serta sistematik.

Dari sudut individu pula, Tokoh Sukarelawan Khidmat Malaysia diberikan kepada Mohd Saifuddin bin Hassan dari Kedah dan Ab Aziz Abdullah dari Johor atas jasa serta pengorbanan mereka di medan bencana. Sementara itu, dedikasi sukarelawan wanita turut diraikan melalui Anugerah Tokoh Sukarelawati Khidmat Malaysia, yang disampaikan kepada Puan Hadijah binti Labbai dari Kedah serta Puan Syzwani binti Mohd Sabri dari Selangor.

Khidmat Malaysia turut mengiktiraf rakan kerjasama strategik melalui Anugerah Rakan NGO Terbaik, yang diberikan kepada Yayasan Amal Malaysia serta Khidmat Malaysia Negeri Sembilan. Selain itu, sebuah pengiktirafan khas turut diberikan dalam bentuk Anugerah Khidmat Malaysia Negeri Berpotensi, menandakan keyakinan terhadap kemampuan negeri-negeri tertentu untuk terus menyerlah di masa hadapan.

Tidak ketinggalan, dua anugerah khas telah diumumkan. Anugerah Khas Ketua Pengarah diberikan kepada En. Ishak bin Dahan dari Melaka sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dan sumbangan beliau, manakala Anugerah Khas Pengerusi Khidmat Malaysia disampaikan kepada Khidmat Malaysia Kawasan Puchong atas peranan aktif mereka di lapangan semasa bencana kebakaran di Putra Height.

Anugerah-anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi juga simbol semangat dan kesungguhan seluruh warga Khidmat Malaysia untuk terus berkhidmat kepada rakyat, sama ada ketika bencana melanda mahupun dalam usaha membina ketahanan masyarakat.

Khairul Faizi Ahmad Kamil

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia

14 September 2025

BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN .. BERAMAL KERANA ALLAH

#KhidmatMalaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *